Tuesday, May 31, 2011

Kerana Terlalu TAMPAN Hingga Dibuang Negeri??

Ketika aku sedang khusyuk meneliti ayat-ayat yang ditulis oleh Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitabnya "Agama Dan Politik : Wawasan Ideal dan Menyanggah Kekeliruan Pemikiran Sekular-Liberal" (edisi terjemahan bahasa Melayu hasil terbitan Alam Raya Enterprise, karya asal berjudul : Ad-Din wa As-Siyasah: Ta'shiilun wa Ruddu Syubuhat) aku tersenyum sambil jauh berfikir akan satu kisah yang dinukilkan oleh beliau. Kisah tersebut berkenaan seorang pemuda TAMPAN yang dibuang negeri oleh sebab ketampanannya. Alhamdulillah, nasib baik aku tidak tergolong dalam golongan yang terlalu tampan, kalau tidak nahas! Hehehe.

Di sini inginku nukilkan kata-kata Prof, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam kitab tersebut.

'Dikisahkan, Nasr berkata kepada Umar, "Apakah dosaku, wahai amirul mukminin?" Umar menjawab, "Kamu sama sekali tidak berdosa. akulah yang berdosa kerana tidak menyingkirkanmu dari Madinah Darul Hijrah"
'Umar mengasingkan Nasr kerana khuatir terjadi fitnah di kalangan kaum wanita walaupun bukan disebabkan oleh perbuatan Nasr sendiri. Tindakan Umar itu demi suatu maslahat: iaitu terjadinya fitnah (persoalan sosial) di Madinah kerana kehadiran Nasr yang berwajah tampan. Madinah adalah tempat yang paling mulia dan suci, kerana itu segala bentuk kemungkaran mesti segera dicegah dan dihilangkan'
                                                                                                                                (m/s 29)

Menurut kisah ini, sememangnya Umar begitu tegas sehinggakan kecantikan paras rupa menjadi penyebab seseorang bersalah. Namun, bukanlah tujuanku untuk menilai tindakan Umar al-Khattab tetapi aku berhasrat untuk membawa anda melihat kepada perbahasan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi terhadap isu ini. Dalam nota kaki, beliau menyebut:

'Penulis merasa hairan dengan tindakan Umar bin al-Khattab yang dikenali sebagai pemimpin yang adil dan berani dalam membanteras kezaliman serta menghukum orang-orang yang zalim walaupun daripada pegawai-pegawai pemerintahan. Bagaimana mungkin Umar menghukum seorang lelaki yang tidak berdosa hanya kerana diciptakan Allah sebagai orang yang tampan. Umar mengusirnya dari Madinah hanya kerana nama Nasr disebut-sebut oleh seorang perempuan dalam syairnya. Jika Umar khuatir terjadi sesuatu yang tidak diinginkan dengan kaum wanita yang berada di Madinah, bagaimana mungkin dia tidak mengkhuatirkan kaum wanita yang berada di Basrah? Akhirnya penulis berusaha meneliti tentang kisah yang sangat terkenal itu. Daripada hasil pengamatan penulis, tampak sanad kisah tersebut menurut ulama hadis tidak diakui. Daripada riwayat yang paling sahih pun, tidak satupun rawi yang menyaksikan kisah tersebut atau sekadar hidup sezaman dengan Umar sama ada daripada kalangan sahabat ataupun tabi'in. Kisah tersebut juga tidak diriwayatkan secara bersambung, tetapi ada keterputusan rawi.'

Beliau menyambung nota kakinya dengan memberi contoh perawi dan mengupasnya dengan lebih mendalam. Apabila aku membaca tulisan ini, wujud tanda kagum dalam diriku akan kehebatan dan kesungguhan Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam mencari sesuatu yang betul-betul sahih. Aku terfikir lalu menginsafi diri sendiri kerana melihat gelagat umat Islam yang mengaku Islam namun gagal membuat pertimbangan waras dalam menimba ilmu Islam. Namun demikian, mereka perlu juga dipuji kerana sekurang-kurangnya mereka mahu mempelajari Islam berbanding sekelompok yang lain yang langsung tidak ambil peduli.

Di sini aku perhatikan bahawa ulama terlalu kritikal dalam menilai sesuatu berita atau fakta sebelum menerimanya sebagai benar. Semangat serta sikap seperti ini perlu dipupuk dalam kalangan umat Islam supaya mereka tidak terlalu "gopoh" menerima sesuatu fakta lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan Islam. Jika perkara ini dibiarkan maka, rosaklah Islam kerana sudah bercampur-baur dengan tokok tambah oleh tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab.

Walaupun begitu, bukanlah menjadi tuntutan bagi semua umat Islam supaya belajar ilmu agama tinggi-tinggi, menghafal hadis serta syarahnya sampaikan "power" dalam bidang agama. Akan tetapi, perkara asas fardhu ain dan ilmu berkaitan dengan Islam perlulah dipelajari dan difahami melalui sumber yang sahih. Oleh sebab itu, aku menyeru kepada diriku dan umat Islam lain agar menuntut ilmu Islam melalui disiplin yang "TAMPAN", bebas daripada "gopoh-gapah" dan kurang "kritikal" terhadap kesahihan.

Oleh itu, sebelum anda mempelajari mahupun menyampaikan hal-hal berkaitan dengan Islam, telitilah dulu sumbernya, pengarangnya dan kandungannya setakat yang anda mampu. Jika anda tidak mampu, maka bertanyalah golongan agama yang lebih mengetahui. Akan tetapi, perlu juga diingat bahawa sehebat manapun seorang tokoh agama itu, ia tetap tidak maksum dan tidak melebihi darjat Rasulullah S.A.W. Apabila seseorang ustaz mengatakan sesuatu perihal agama, kita sebagai manusia yang diberi akal perlulah meneliti kata-katanya sebelum menerimanya bulat-bulat. Adakah ucapannya itu bertentangan dengan dalil Quran dan Sunnah? Adakah hadis yang dibacanya itu benar? Kitab manakah menjadi sumber ucapannya? Jika terdapat kesilapan dalam kata-katanya, maka ia berhak dikritik supaya kesalahannya itu tidak merebak kepada orang lain.

Kritikan itu hanyalah terhad kepada kesilapannya sahaja. Segala kebaikan dan sumbangan guru agama itu perlu dipuji dan dihargai. Mengkritik atau tidak bersetuju dengan pendapat ulama dengan mengemukakan hujah yang lebih kukuh adalah budaya yang sihat dalam menjana intelektual. Dalam dunia yang serba moden ini, janganlah kita memandulkan akal kita dengan hanya berpegang kepada satu-satu pendapat tanpa mengira sama ada benar ataupun tidak. Budaya "ustaz ni cakap", "abang/ kakak usrah ni cakap" perlu dibuang dan tidaklah cakap-cakap mereka itu menjadi "lesen" untuk dilabelkan perkara itu sebagai syariat. Melainkan cakap-cakap mereka itu selari dengan Quran dan Sunnah serta diakui kebenarannya.

Perlu diakui bahawa tidak semua manusia mempunyai kesempatan untuk mendalami agama dan meneliti kebenaran. Mungkin faktor umur, kesibukan masa atau kurang pendedahan menyebabkan sesetengah pihak betul-betul bergantung kepada ustaz dan ustazah. Oleh sebab itu, ustaz dan ustazah perlulah BERTANGGUNGJAWAB dan BERDISIPLIN dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Sesuatu yang tidak benar atau meragukan usah disampaikan kepada masyarakat kerana barangkali tindakan anda mempengaruhi pemikiran manusia sehinggakan sesuatu yang bukan agama dianggap sebagai agama. Berfikirlah dahulu kesahihan fakta sebelum anda menyampaikannya. Perkataan seperti "saya rasa", "saya dengar", "orang kata", kalo x silap saya" jangan sesekali digunakan apabila orang meminta penjelasan anda. Jika anda tidak mengetahui, katalah "saya tidak tahu" dan carilah maklumat mengenainya.

Kesimpulannya, Islam ini tertegak dengan ilmu dan kebenaran maka, jadilah umat yang berintelektual yang mampu menilai yang hak dan yang batil. Janganlah bunuh akal anda dengan menelan apa sahaja berita yang didengar dan khabar yang disampaikan tanpa mampu membuat penilaian yang baik. Lihatlah bagaimana Allah menyifatkan golongan Ulul-Albab :

"..... Oleh itu gembirakanlah hamba-hamba-Ku. (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang disampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab"
                                                                                      (Surah Az-Zumar 39 : 17-18)

Jadikanlah diri anda TAMPAN dengan menilai sesuatu sebelum menerima!

Moga anda kekal TAMPAN sepanjang masa!!




Yang selalu mengharapkan ampunan Tuhannya,
MUAZ MUAWIZ
Jumaat, 27 Mei 2011
Madison, Wisconsin

Sunday, November 28, 2010

Tidak segala yang baru itu INDAH..

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

   
 Walau jarak menjangkau ribuan batu,
Namun, hakikatnya tetap di bumi yang satu,
   Mungkin sedikit bezanya dari yang dulu,
Tapi itulah yang dipanggil baru...


Kerana baru itu kadang kala kita lupa,
Alpa dan lupa pada yang lama,
Di mata kita seolah-olah semuanya lawa,
Tiada cacat cela, hanyalah gembira belaka...

Benar,

Semua ini namanya baru,
Tapi bukanlah baru itu indah belaka,
Kenapa yang baru ini penuh pancaroba?
Kalau begitu carilah yang lama..

Memang,

Riang dan gembira perkara biasa,
Meskipun yang baru itu tidak seindah syurga,
 Mulut tertawa ria, hati pula terseksa
Mencari-cari penawar buat penenang jiwa..


        Dengan izin Allah yang Maha Esa, bermulalah episod baru dalam hidupku. Episod yang kebanyakan pelajar berlumba-lumba untuk mengejarnya. Bagiku, episod baru yang dialami dalam hidupku ini hanyalah sebagai penyambung kepada umurku sebelum aku bertemu dengan kematian. Pada mulanya, semuanya nampak indah belaka, namun, setelah sekian waktu, baru kutahu bahawa yang baru itu tidak semuanya menjanjikan kebahagiaan. Mungkin gembira kerana berada di tempat baru, kononnya hidup di perantauan, tapi dalam masa yang sama hati ini masih statik.

     Jasadku maju beribu kilometer, tapi hatiku, batinku seolah-olah berundur ke belakang. Bumi kuberpijak sekarang tidak dinafikan maju, tapi hakikatnya gersang. Kegersangan bumi ini seakan-akan menyelinap masuk ke dalam batinku. Aku harus sedar akan realiti bumi ini. Tidaklah sama bumi Islam dengan bumi Kuffar. Ketidaksamaan ini mengajarku erti sebenar mujahadah. Sekarang kufaham akan erti “sabar” dalam melakukan ibadat kerana suasana baru ini mengajar.

    Tatkala Islam itu hilang dalam suasana, aku benar-benar terjaga akan pentingnya agama. Islam itu perlu kucari meskipun sukar. Bukanlah masanya untukku diam ternganga, menunggu orang menghidangkan segalanya. Segala yang dicari itu aku yakin ia lebih berharga. Aku berdoa pada Allah agar memberi kekuatan kepada diriku untuk menempuh segala dugaan ini dan terus-menerus meniupkan semangat mujahadah dalam diri.

    Aku yakin Islam yang bersifat ‘alamiyyah itu ada di mana-mana. Bukanlah bumi itu menjadi penyeri kepada iman seseorang, sebaliknya semuanya kembali kepada iman dan amal. Bukanlah bumi anbiya itu menjadi jaminan harga iman seseorang. Bukanlah bumi jahiliyyah itu menjadi jaminan rosaknya iman seseorang. Marilah sama-sama kita muhasabah.

Sunday, June 20, 2010

ERTI CINTA


Setiap insan mahu mencintai dan dicintai kerana itu satu fitrah. Cinta itu selalunya mendatangkan kemanisan dan mampu mencipta seribu kenangan. Melalui cinta timbul pula rindu yang mengikat hati dua insan. Kerana cinta, seorang anak merindui kedua orang tuanya. Kerana cinta, seorang sahabat memberi hadiah kepada temannya. Kerana cinta, seorang guru sanggup berkorban demi kejayaan anak muridnya.

Pada pandanganku, cinta itu mampu menjadi pemangkin dan pencetus kepada pengorbanan. Disebabkan hebatnya cinta seorang ibu kepada anaknya, dia sanggup bertarung nyawa melahirkannya dan berhempas pulas membesarkan anak yang dikandungnya. Disebabkan tingginya cinta seorang ayah, dia sanggup memerah keringat tanpa batasan masa demi memberi nafkah kepada anak tercinta. Disebabkan mulianya cinta sahabat kepada temannya, dia merelakan dirinya untuk menemani tatkala suka dan duka.

Bukankah semua itu satu pengorbanan ? Bukankah cinta itu menjadi pemangkin kepada kerelaan ? Jika dalam hati kita bersarang dendam dan kebencian, sanggupkah kita berkorban ? Cinta itu mewujudkan mood seorang hamba yang setia kerana dalam soal cinta itu terselit kepercayaan, ketulusan dan kejujuran. Walau bagaimanapun, cinta itu perlulah diberi kepada yang selayaknya. Bunga cinta itu janganlah diberi kepada seekor kera agar nanti anda tidak terluka. Maka, jadilah seperti kera mendapat bunga, dikoyak-koyaknya hati anda seperti dikoyaknya sekuntum bunga.

Wahai teman!

            Meskipun cinta itu mencetuskan pengorbanan, namun letakkan pengorbanan itu di atas neraca Islam. Biarlah pengorbanan itu mendapat tempat di sisi Allah. Meskipun cinta itu menjadikanmu seorang hamba setia, namun hambakanlah diri anda kepada yang selayaknya. Sesungguhnya, cinta itu indah lagi mulia jika tidak dinoda dan dinista. Biarlah cintamu itu kekal bukan sahaja hingga ke akhir hayat, bahkan sampai ke akhirat sana. Cinta seperti inilah yang perlu dicari!

            Dari Anas r.a dari Nabi s.a.w, baginda bersabda: “Ada tiga hal apabila orang yang memilikinya akan merasakan kemanisan iman (Halawatul Iman) iaitu: mencintai Allah dan rasul-Nya melebihi segala-galanya, mencintai seseorang hanya kerana Allah dan benci untuk kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan Allah daripadanya sebagaimana bencinya ia jka dilemparkan ke dalam api neraka”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

            Bagiku, hadis ini benar-benar menunjukkan kemuliaan cinta di sisi Islam jika motif cinta itu jelas dan menepati kehendak Ilahi. Cinta yang berpaksikan Tuhan dan pesuruhnya mampu menaikkan martabat anda kepada tingkatan iman yang tertinggi. Kata kunci kepada manisnya iman itu ialah cinta. Jadi, bercintalah agar dirimui dicintai Allah! Akan tetapi, cinta itu ada syaratnya agar kesuciannya tidak dinista.


            Berdasarkan hadis ini, martabat cinta yang paling agung ialah cinta kepada Allah dan rasulnya. Mencintai Allah ini melahirkan ketakwaan dan keimanan kepada-Nya. Atas dasar cinta kepada Ar-Rahim dan pesuruh-Nya, maka bertambahlah kesyukuran di hati dan jauhlah kita daripada jalan-jalan yang dimurkai.  Allah berfirman dalam surah Ali-Imran, ayat 31.

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمْ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

31.  Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Manifestasi cinta kepada Robbul ‘Alamin membuahkan jiwa yang cinta akan Nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu, segala pesanan dan sunah nabi diturutinya Walaupun secara lahiriahnya baginda sudah wafat, namun baginda tetap hidup di hati-hati suci manusia yang beriman.

            Kemudian, Rasulullah menyenaraikan golongan kedua pula yang mendapat kemanisan iman iaitu mereka yang mencintai sesama sendiri hanya kerana Allah. Bagaimanakah cinta kita kepada sesama manusia hendak disandarkan kepada Allah? Di manakah Allah dalam bahtera cinta yang kita layari? Adakah cintanya kita pada makhluk membawa cinta kepada Allah?

            Menyedari hakikat ini, aku cuba menterjemahkan makna cinta. Pada pendapat aku yang lemah, tidaklah dinamakan cinta itu jika pengakhirannya hanya di dunia fana. Orang yang benar-benar bercinta ialah mereka yang tidak mahu melihat orang yang dicintainya dihumban ke neraka. Mereka bertemu di dunia dan memasang niat untuk bertemu selama-lamanya di syurga.

Wahai saudaraku yang beriman !

            Marilah sama-sama kita renungkan. Kita mengaku mencintai ibu bapa tetapi apabila mereka menyalahi syariat, adakah kita menegur dan menasihati dengan penuh hikmah? Kita berdaya untuk menghadiahkan kek hari jadi kepada sahabat sejati, tetapi, adakah terdaya hati kita untuk memberi nasihat murni ketika ia menyimpang dari landasan ilahi? Kita selalu membuat janji temu di sana sini, tetapi pernahkah kita menbuat janji temu dengan orang yang kita cintai di syurga? Atas nama kawan, kenapa kita sanggup mengikutinya ke lembah murka?  Adakah bukti cinta itu hanya kepada hadiah hari jadi, ucapan mesra pelembut hati dan sms tiap-tiap hari?  

Di manakah cintamu?
 

MUSCOM : SYOK SENDIRI??


Pada era yang kononnya penuh dengan kemodenan ini, manusia amnya seakan-akan bertuhankan yahudi dan berkitabkan nasrani. (Maaf. Mungkin agak keras bunyinya tapi inilah hakikatnya) Islam hanya tinggal pada nama, namun praktikalnya jauh sekali. Budaya barat yang jauh dari landasan syariah menjadi sanjungan dan teladan. Ukuran kemajuan tidak lagi menurut pertimbangan Islam. Orang yang berpegang pada Islam dianggapnya jumud, kolot bahkan digelar ekstremis.

            Aku melihat rakan sebayaku sudah hilang Islam dalam diri. Mereka leka dengan hedonisme yang menggiurkan hati. Suasana sebegini menyebabkan aku sunyi dalam keriuhan ramai dan kosong dalam lambakan hiburan. Aku mencari-cari sinar illahi yang dahulunya mudah didapati tetapi apabila berhijrah ke sini, sinar itu kian kelam dalam kealpaan manusia.

            Aku mula mendekatkan diri dengan Musolla As-Saad agar diriku mendapat petunjuk dan tarbiah dari Allah. Sesungguhnya aku percaya dengan firman Allah dalam surat At-Taubah, ayat 18

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاَةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ اللَّهَ فَعَسَى أُوْلَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنْ الْمُهْتَدِينَ
 
18.  Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, Maka mudah-mudahan merekalah termasuk dalam golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.

Aku tertarik dengan potongan ayat terakhir yang maksudnya “Maka mudah-mudahan merekalah termasuklah dalam golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.” Ya Allah, berilah aku petunjuk!

                Apabila diri ini berjinak-jinak dengan Musolla, aku kenal sekumpulan manusia yang aku cukup hormati kerana mereka ini bekerja di rumah Allah dan memakmurkan rumah-Nya. Pada waktu subuh, merekalah yang berhempas-pulas mengejutkan orang dari tidur. Zohor dan asar pula, merekalah yang solat berjemaah. Ketika menunggu solat Isyak, merekalah yang mengatur program bagi menyediakan makanan rohani buat muslimin dan muslimat yang kelaparan tarbiah. Ya Allah, beruntunglah kalau aku tergolong dalam golongan seperti ini!

            Setelah sekian lama aku di sini, aku pun diperkenalkan dengan satu organisasi yang pada pandanganku satu aset terbesar buat umat Islam di tempat belajarku ini. MUSCOM namanya. Singkatan daripada Musolla Community. Disebabkan bulatnya tekad untuk mencari cahaya rabbani dan kentalnya azam untuk mengelakkan diri daripada terpalit najis jahiliyah, aku membuat keputusan untuk menjadi pelajar yang taat setia dengan aktiviti Musolla yang kebanyakannya dianjurkan oleh MUSCOM sendiri. Aku sediakan kudrat untuk terus bersama Musolla, mengikuti segala programnya dan bersujud rukuk bersama ahli-ahlinya.

            Hadirnya aku bukanlah sekadar menadah tangan untuk menerima ilmu. Hati dan mental juga aku hadirkan bersama. Disebalik kenyangnya hati menerima makanan ruhiyah, mentalku panas dan sedih. Apabila aku menoleh ke kiri dan kanan, aku dapati wajah-wajah yang sama sahaja. Bukan sekali, tetapi berkali-kali. Hatiku mengeluh.

Bukankah umat Islam ramai di sini?

Kalau ramai, mana perginya ?

Sibuk sangatkah mereka ?

Adakah Islam ini hanya untuk segelintir manusia sahaja ?

Bukankah Islam ini untuk semua?

Kemudian, aku dipertemukan dengan satu hadis Rasulullah yang banyak membangkitkan semangat kepada diriku. Seakan-akan nabi Muhammad berbicara denganku untuk menenangkan jiwa yang lara.  

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: “Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka beruntunglah orang-orang yang ganjil(Hadis Muslim no.45)

            Kebenaran kata-kata mulia Rasulullah benar-benarku terasa sekarang. Orang yang mengaku Islam ramai bilangannya, namun orang yang betul-betul berpegang padanya hanyalah sedikit. Di tempatku, orang yang bersuka ria di luar sana terlalulah ramai, tetapi orang yang melabuhkan punggungnya di Musolla untuk membaca ayat-ayat Allah, menahan telinganya mendengar tazkirah, menekan dahinya bersujud kepada Allah sangatlah sedikit. Bahkan, orang-orang seperti ini selalu dianggap ganjil dan anti-sosial.

            Melompat beramai-ramai bersama laki perempuan tidaklah dirasakan asing tetapi solat berjemaah siang malam beramai-ramai dianggap satu keganjilan yang nyata. Bunyi bising jeritan dan muzik melalaikan dirasakan norma budaya, namun, ayat suci Al-Quran dan hadis rasulullah yang dibacakan dianggap satu kepelikan dan keganjilan. Pada akhir zaman ini, mereka yang berusaha mengembangkan syiar Islam seperti makhluk asing dalam masyarakat. Akan tetapi, makhluk asing itulah yang beruntung di hari pengadilan nanti.

            Aktiviti-aktiviti Musolla kurang mendapat sambutan. MUSCOM seakan-akan syok sendiri dengan program sendiri. Masakan tidak, pihak penganjur dan krew-krewnya sahaja yang hadir. Tetamu yang diharapkan datang lesap entah ke mana. Apabila ditanya. pelbagai alasan murahan diberi. Contohnya, tak cukup masa, sibuk, nak studi, ada banyak urusan yang perlu diberes tapi setelah direnung, hanya ada satu alasan sahaja yang konkrit iaitu AKU TAK MAU !

Jika hati tidak inginkan agama, maka akal digunakan untuk mencipta pelbagai idea bagi menonjolkan kesucian yang hakikatnya satu kekotoran. Ahli-ahli MUSCOM dikritik dan dilabel dengan pelbagai perkara. Kononnya, mereka yang bekerja di rumah Allah ini semuanya hipokrit, hidup dalam pura-pura. Apabila ditegur oleh MUSCOM, mereka melenting seolah-olah golongan yang menjalankan amar makruf nahi munkar ini orang yang menjaga tepi kain orang.

Wahai sahabat yang beruntung !

            Janganlah kerana kata-kata orang itu membuatkanmu lemah. Janganlah kerana kurangnya sokongan anda berputus asa. Janganlah kerana keganjilan yang anda bawa meranapkan semangat. Ingatlah, sesungguhnya pada pandangan manusia anda ganjil tapi pada pandangan Islam anda tidak begitu. Kuatkan imanmu dan banyakkan doamu. Biarlah kita syok sendiri, kerana segala usaha yang kita lakukan ini mudah-mudahan mendapat syok Allah.

Benarlah, di sebalik wanginya mawar, ada durinya. Duri yang kadang kala mencucuk diri tapi bagiku itu hanya satu duri biasa. Banyaknya duri langsung tidak menghilangkan rasa wangi. Oleh itu, ahli MUSCOM, jangan biarkan duri semula jadi itu menghilangkan rasa wangimu!! Kuatkanlah dirimu!

 

Biarlah ketika mereka terlena kita terjaga

Biarlah ketika mereka bergembira kita berduka akan banyaknya dosa

Biarlah ketika mereka membazir masa, kita menatap kalam-kalam dari-Nya

Biarlah ketika mereka menjerit bersuka-ria, kita tekun mendengar peringatan dari-Nya

Walaupun jelik pelik pada mata manusia, namun kita tetap gembira bahagia

kerana kita percaya akan janji-janjiNya!!!

  

Aku dedikasikan artikel ini buat MUSCOM dan teman-teman sehalaqah

 

.

HAKIKAT HAMBA IALAH MERDEKA


Allah berfirman dalam surah Al-Furqan, ayat 63: 


وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمْ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلاَمًا

63.  Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.

                Tatkala aku membaca dan meneliti maksud ayat ini, hatiku luluh runtuh. Hatiku menangis. Kesedihan itu kuterjemahkan dengan bergugurannya air mata. Ya Allah! Selama ini aku mengaku diriku ini hamba-Mu, tetapi adakah Engkau iktiraf diriku ini hamba-Mu? Ya Allah! Jadikanlahku hamba-Mu! Selama ini aku menghambakan diriku pada benda lain. Mulai saat ini pimpinlah aku agar sentiasa menjadi hamba-Mu.

            Melihat kepada ayat ini, aku sedar hakikat seorang hamba di sisi-Nya. Dalam ayat ini serta ayat berikutnya, Allah menceritakan dengan serba lengkap tentang ciri-ciri hamba Tuhan Ar-Rahman. Pada kesempatan ini, aku cuba untuk fokuskan ayat ini sahaja buat renunan bersama. Aku cukup tersentuh pada bahagian pertama ayat ini iaitu yang bermaksud “Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati…”

            Begitulah sifat seorang hamba kerana realitinya hamba itu sifatnya rendah lagi hina. Hamba itu tidaklah merdeka kerana ia perlu taat setia pada tuannya. Apakah nilai harga dirinya jika dibandingkan dengan tuannya? Jadi, sebagai hamba tidak perlulah berasa tinggi dan besar diri kerana masih ada yang lagi besar dan tinggi daripadamu. Jalankan tugasmu sebagai hamba dengan menunaikan segala perintah dan larangan tuanmu.

Wahai teman seakidah!

            Menjadi hamba Allah itu tidaklah bermakna anda sengsara. Ingatlah, tidaklah sama taraf hamba makhluk dengan hamba Allah. Percayakah anda yang sebenarnya menjadi hamba Allah itu bermakna anda merdeka. Pada pandanganku yang cetek ini, aku menafsirkan merdeka itu sebagai sesuatu yang lebih tingi darjatnya. Tidaklah terbatas makna ‘merdeka’ dengan larinya penjajah dari tanah air, bebasnya diri dari cengkaman manusia, hilangnya kegusaran di hati, akan tetapi, bagiku, merdeka yang sebenarnya dan paling tinggi tingkatnya ialah bebasnya dari api neraka Allah.

            Ingatlah, sesungguhnya hakikat hamba ialah merdeka. Hamba Allah yang sebenar-benarnya, jiwa mereka merdeka daripada segala perkara selain Allah. Salah satu kemerdekaan yang diraih oleh hamba Allah ini ialah kemerdekaan daripada murka dan neraka-Nya. Hati hamba yang merdeka itu meletakkan segala pengharapan kepada Allah, Tuhannya yang mulia.  Sesungguhnya, mereka benar-benar beriman dengan kalimah syahadah mereka iaitu “La ilaha illa Allah’- Tiada tuhan selain Allah.

Wahai sahabat seagama!

            Jadilah hamba Allah pada bila-bila masa. Jiwa yang merdeka ini senantiasa tenang dari keluh kesah kerana ia yakin Allah itu tuhannya dan dia hanyalah hamba. Jiwa mereka bertambah kuat apabila ditimpa sesuatu kerana yakin bahawa semua itu ada hikmah dan datang daripada pencipta mereka. Hati seorang hamba ini akan menjadi penawar buat dirinya jika ditimpa kekecewaan kerana perbuatan manusia. Sesungguhnya, mereka percaya yang mereka ada Allah yang maha tinggi kuasa-Nya dalam mengatasi segala masalah. Dan, cukuplah dengan Allah sahaja tempat kita berserah dan minta pertolongan!

Cuba renungkan diri kita.

Merdekakah kita daripada karat-karat jahiliyah?

Adakah kita sudah melaksanakan tuntutan syahadah kita?

Kita mengaku yang Allah itu tuhan, tetapi adakah kita bertuhankan Allah pada setiap masa?

Kita kira kita merdeka tapi adakah kita merdeka di sisi Allah?

Ketika ditimpa sesuatu musibah, kita menjadi hamba tetapi setelah perginya bala, di manakah status kita?

Kita sentiasa mengharapkan agar Allah menerima segala-galanya yang datang dari hati kita, namun adakah kita memenuhi segala-galanya yang diharapkan Allah?

Oh teman, tuntutlah kemerdekaan dengan jalan kehambaan!

ILUSIKAH SEMUA INI??


“Adik ni sekolah agama?” kakak bertudung singkat menegurku di dalam gerabak kereta api. Hari itu, aku bersama temanku sengaja memilih untuk menggunakan tren untuk pulang ke kampung yang terletak jauh di utara. Aku masih ingat wajahnya. Ketika ia melontarkan soalan itu kepadaku dan kawanku, terdapat garis-garis prejudis di wajahnya. Tafsiranku, seolah-olah terbuku satu dendam kesumat dalam benaknya  terhadap sekolah agama.

            Aku dan kawanku segera menganggukkan kepala sambil memandang sesama sendiri. “Akak pun sekolah agama gak!” Ia tersenyum lalu menyuap mulutnya dengan makanan yang dibeli di kafeteria. Aku terus berdiam diri, menunggunya untuk meneruskan perbualan. “Macam mana hidup di sekolah agama? Akak ni teruk sikit. Malula dengan korang!” Pada saat itu, mataku melirik atas ke bawah, melihat gaya pakaiannya. Seluar jeans ketat, T-shirt putih singkat dan tudung singkat atas dada sudah cukup untukku membenarkan kata-katanya iaitu ‘akak ni teruk sikit’.

            Pada saat itu, aku bermujahadah untuk terus bersangka baik. Setiap manusia selagi mana rohnya tak bercerai dari badan, masih mempunyai peluang untuk meraih ampunan-Nya. “Best tak sekolah agama?” Dia menyambung. Lantas, rakanku menjawab “OK jer.. hehe” Aku pula mencelah, “Akak plak camne?”

            “Akak rasa sekolah agama itu tak bebas. Rasa macam berada dalam ilusi. Takde life!!” Aku peka mendengar setiap patah kata yang terbit dari bibir merahnya. Kawanku hanya tersenyum. “Budak-budak sekolah agama macam kekatu dalam balang kaca. Cuba bayangkan kekatu dalam balang kaca lutsinar. Kekatu ni nak sangat pergi ke lampu, tapi tak berjaya sebab ada balang kaca menghalang. Kekatu nampak yang di luar sana ada lampu tapi kekatu tak boleh keluar dari situ sebab ada kaca. Sekarang adik dah keluar dari balang kaca. Seronok kan ?’’ 

            Analogi yang kakak beri cuba kutafsirkan dalam-dalam. Dia seolah-olah menyimpulkan bahawa sekolah agama itu seakan-akan menyekat kebebasan pelajarnya. Benarkah begitu ? Adakah lima tahun aku di sekolah agama, kebebasanku terbelenggu ? Adakah aku selama ini hanya seekor kekatu yang terpenjara dalam dinding kaca ? Ilusikah tarbiah di sekolah dulu ? Kalau semua itu ilusi, manakah realitinya ?

            Berbekalkan analogi yang kudengar, aku memandang suasana di tempat aku belajar sekarang. Kononnya, inilah dunia sebenar. Pergaulan lelaki perempuan yang tiada batasan, terkinja-kinja melayan hiburan melampau, seksi dalam berpakaian, rumah Allah ditinggalkan, tenggelam dalam berpacaran dan lain-lain yang apabila kuamati semuanya ini merupakan satu kesalahan di sisi agama. Inikah realiti kehidupan ? Adakah sinonim dosa dengan kehidupan ? Aku melihat kekatu yang bebas dari balang kaca ini seolah-olah lupa akan hari pertemuan yang dijanjikan oleh Allah. Mahukah mereka dilupakan oleh Allah pada hari kebangkitan oleh sebab dalam dunia fana ini mereka lupa kepada-Nya. Dalam surah As-Sajadah ayat  14 , Allah berfirman :

فَذُوقُوا بِمَا نَسِيتُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَذَا إِنَّا نَسِينَاكُمْ وَذُوقُوا عَذَابَ الْخُلْدِ بِمَا
كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ


14.  Maka rasailah olehmu (seksa ini) disebabkan kamu melupakan akan pertemuan dengan harimu ini. Sesungguhnya Kami telah melupakan kamu (pula) dan rasakanlah seksa yang kekal, disebabkan apa yang selalu kamu kerjakan.

Bagiku ayat ini sudah cukup untuk menggambarkan nasib manusia yang dahulunya di dunia pandangannya kabur oleh tipuan duniawi. Mereka lupa bahawa penciptaan mereka sebagai insan bukanlah perkara sia-sia. Mereka lupa bahawa suatu hari nanti mereka akan menuju sesuatu yang pasti iaitu kematian. Bahkan, mereka sebenarnya akan dibangkitkan dari kematian. Pada saat getir itu, mereka baru teringatkan Allah. Namun, adakah Allah akan mengingati mereka tatkala mereka diseksa oleh azab-Nya yang pedih. Tidak takutkah mereka dengan azab api neraka? Tahukah mereka yang suatu hari nanti ajal pasti akan datang?

            Setelah direnung perkara ini, akhirnya aku sedar yang sebenarnya alangkah bahagianya menjadi kekatu yang terperangkap dalam balang kaca. Biarlah hidup ini nampak terseksa kerana setiap keinginan yang membawa dosa dibatasi peraturan dan hukum Allah. Biarlah di dunia ini kita dipenjara kerana sebenarnya kita bebas di akhirat sana. Peristiwa itu mengubah dimensi pemikiranku dalam menafsirkan maksud kebebasan. Bagiku, kebebasan mutlak ialah kebebasan dari api neraka.

Wahai teman sesyahadah!

            Kekatu yang hidup di luar balang kaca itu sebenarnya menuju ke arah lampu yang akhirnya membakar dan membunuh diri. Nafsu mereka terliur melihat cahaya lampu yang indah pada pandangan mata, namun apabila sampai ke sana, mereka mati binasa. Mungkin melakukan dosa itu satu keindahan pada pandangan mata, tetapi ingatlah dengan amalan dosa itulah, kelak diri kita dibakar. Kehidupan yang didambakan itu mungkin menyedapkan hatimu, tetapi di sisi Islam ia tidak baik untukmu.

Sedarlah saudara!

Sesungguhnya, segala tarbiah di sekolah dulu bukanlah satu ilusi. Tarbiah itu satu bekalan bagi menuju jambatan realiti. Percayalah, segala yang tak nampak pada pandangan zahir itu tidak semestinya sebuah fantasi. Syurga neraka, dosa pahala, semuanya realiti belaka. Janganlah tertipu dengan sebuah kehidupan yang dikatakan realiti kerana hakikatnya itu hanyalah ilusi yang menipu. Oleh itu, segala pesanan dan tarbiah yang diterima pada zaman sekolah, jangan sekali-kali dilupakan. Itulah senjata anda dalam arena perang mempertahankan kebebasan diri di akhirat. Kebebasan di dunia hanyalah bersifat sementara, manakala akhirat sana merupakan satu episod hidup yang tiada pengakhirannya.

Jadi, bahagialah dirimu wahai kekatu yang hidup berbentengkan dinding kaca. Yakinlah bahawa itulah realiti yang dibawa oleh Islam. Realitikanlah segala yang dikata orang ilusi. Jadilah muslim realiti. Janganlah biarkan diri anda menjadi insan yang mulutnya mengaku Islam, tetapi imannya fantasi dan amalnya ilusi.
 

Thursday, June 17, 2010

Hadiah Buat Teman

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh….

   Segala pujiian bagi Allah s.w.t, selawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.aw. dan keluarganya serta sahabat-sahabatnya. Alhamdulillah dan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah kerana telah mengizinkanku untuk menulis sesuatu buat teman-teman seperjuangan. Walaupun nilaian tulisanku ini terlalulah rendah jika dibandingkan dengan tulisan ulama-ulama muktabar, namun aku tetap bersyukur kerana Allah tetap memberi kesempatan untuk berkongsi mutiara rohani dengan sahabat-sahabatku. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga aku ungkapkan buat ibu bapa, guru-guru dan para sahabat terutamanya.

  Sebenarnya, niat untuk menulis ini sudah lama menyubur dalam hati, namun disebabkan pelbagai kekangan, niat ini ditangguh buat seketika waktu. Alhamdulillah, dengan izin Allah, aku dipertemukan dengan teman-teman sehalaqah yang banyak menyuntik semangat kepadaku untuk berjuang mengembangkan dakwah Islamiah dengan mata pena. Lalu hati ini terbuka dan mentalku bersedia. Wahai sahabatku, hari ini aku sahut seruanmu!

Oh sahabat!

   Pengalamanku mengajar diri untuk terus berpegang utuh pada Islam yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Pengalaman perit yang kualami apabila diriku “dipenjara” akhirnya membuahkan pelbagai ilmu dan hikmah yang dikurniakan daripada Allah. Pada mulanya, hati ini tidak rela, mata ini seolah-olah tidak mampu dibuka, kalbu ini meronta-ronta oleh sebab ketentuan yang Maha Esa. Namun, langit itu tidaklah sentiasa mendung. Akhirnya sinar mentari berhias pelangi muncul jua.

   Aku mohon pada Allah agar diberikan setangkai mawar merah, tapi diberiNya kaktus berduri, kupohon sang kupu-kupu tetapi diberiNya beluncas berbulu. Soalnya, siapakah aku? Bukankah aku hanya seorang hamba yang hina dina? Tidak bersyukurkah aku? Ya Allah, ampunilah segala dosaku dan jadikanlah aku manusia yang bersyukur! Dalam kepahitan aku belajar. Dalam tangisan aku berdoa. Sesungguhnya, Allah tidak menjadikan semua ini sia-sia.

Wahai teman seagama !

   Setelah meredah ranjau berduri, aku mula sedar dan makin yakin akan keindahan Islam yang rata-rata para remaja hanya mampu percaya namun praktikalnya entah ke mana. Idea yang cuba kutitipkan kepada anda lazimnya berkisar pada diriku. Aku hanya mampu berkongsi pengalaman dan sedikit ilmu yang direzekikan kepadaku. Janganlah menganggap yang diriku ini hadir untuk memberi kerana siapalah diriku untuk memberi sesuatu yang bukan hak milikku.

   Aku berharap tulisan kecil ini mampu berfungsi sebagai peringatan atau tazkirah buat diriku dan diri saudara. Isi-isinya sudahku olah dalam halaqah yang pernah kita jalankan sepanjang di medan jihad kita. Atas kesedaran ukhuwah dan rabbaniah, aku kumpulkan tajuk-tajuk halaqah itu semula dan cuba menghidangkan kepada antum sekalian dalam bentuk teks.

Wahai saudaraku!

   Ingatlah! Tatkala anda sibuk melontarkan kata-kata dakwah kepada manusia, ingatlah satu perkara, iaitu setiap yang keluar dari mulut anda merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul. Allah berfirman dalam surah As-Saff,

2. Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?

3. Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.


Ayat Al-Quran ini aku tujukan buat diriku yang selalu lupa dan dirimu yang menggalas tanggungjawab sebagai dai’e. Marilah sama-sama kita bermujahadah untuk terus berjuang atas kalimah syahadah yang kita ucapkan, Insya Allah, usaha kecil yang kita usahakan ini, mendapat ganjaran yang besar dari Allah s.w.t.

   Sekali lagi, aku berharap agar naskhah kecil ini menjadi barang yang bermanfaat buat diri anda sekalian. Mohon ampun dan maaf seandainya diri ini pernah melukakan hati saudara sepanjang tempoh perkenalan kita. Mohon maaf dan ampun sekali lagi sekiranya terdapat kecacatan dan kelemahan dalam penulisanku ini. Aku bukanlah seorang perwira yang handal berbicara. Aku bukanlah seorang pendeta yang tinggi ilmunya. Aku hanya insan hina yang tak lut dari dosa durjana. Wahai teman, terimalah diriku seadanya dan bimbinglah aku ke jalanNya.

   Akhir kata, berjuanglah di medan dakwah dan teruskan usaha anda untuk mencapai keredaan Allah. Aku tinggalkan sepotong ayat Al-Quran dari surah Al-Fussilat buat dirimu sebagai penyejuk kalbu,


33. Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?"


Sekian terima kasih. Wassalam…..

 Kawan-kawan sehalaqah...
Yang tiada dalam gambar : Hakim, Luqman, Assakir, Amin Zakaria, Aizuddin


“Pandanglah segalanya dari kaca mata Islam”